Monday, 22 December 2014

Pesta Debak 
DEBAK: Memiliki sejarah tersendiri, Pesta ‘Rebak’ Debak 2012 bakal berlangsung di Tebingan Sungai Rimbas di sini bermula pada 15 hingga 18 November ini.
Ini merupakan penganjuran kali kedua pesta yang sebelumnya dikenali Pesta Debak dan kini ditukar namanya sempena mengambil nama ‘rebak’ (kayu-kayu hanyut) yang banyak berdampar di Sungai Rimbas.
Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) Induk Pesta, Abang Abdullah Abang Sazali pelbagai aktiviti menarik akan dilangsungkan untuk memeriahkan program itu untuk disajikan kepada pengunjung.
Katanya, acara perasmian pesta itu bakal dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam pada hari pertama.
“Sejurus selepas perasmian, acara sukan untuk ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum daerah kecil Debak di samping orang ramai akan dihiburkan oleh artis jemputan iaitu Claudia AF7 sambil membeli-belah di pasar ria yang disediakan di tapak pesta,” katanya.
Pada sebelah malam pula, orang ramai akan disajikan dengan pertandingan bertandak tertutup Saribas, Piala YB Mohd Razi dan penyertaannya turut dibuka kepada pengunjung dari kawasan terbabit.
Seterusnya pada hari kedua, sebelah siangnya pengunjung Pesta Rebak Debak 2012 akan dihiburkan dengan acara pentas hiburan oleh artis terkenal Iban iaitu Lucy M dan pada masa yang sama diadakan pertandingan menyumpit.
Manakala pada sebelah malam pula diadakan pertandingan karaoke tertutup Debak.
Pada hari ketiga pula, acara lumba perahu sakai 10 pekayuh tertutup Debak serta lumba enjin pam yang diadakan di Sungai Rimbas.
“Selain regata, orang ramai boleh berkunjung ke kawasan tapak pesta di mana turut disediakan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan serta swasta, pasarneka dan pentas kebudayaan yang diadakan serentak.
“Lebih menarik di pentas kebudayaan, orang ramai akan dihiburkan oleh artis Betong Idol serta persembahan ‘live band’ hingga ke sebelah malam,” katanya.
Hari terakhir pesta, bakal menyaksikan acara akhir Lumba Perahu Kesian Sakai 10, Lumba Akhir Enjin Pam dan Lumba Champion Sakai 10.
“Majlis penangguhan rasmi pesta tersebut dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas,” katanya.
Justeru, orang ramai adalah dijemput untuk memeriahkan pesta tersebut dan tidak melepaskan peluang berkunjung ke pesta ini di samping menyertai pelbagai aktiviti menarik.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan dan Pesta Rebak Debak 2012 bolehlah menghubungi Majlis Daerah Debak di talian 083-464103 (waktu pejabat).


 



 


 














No comments:

Post a Comment