Nostalgia Perahu Tambang Sarawak
![]() |
Perahu tambang, atau dikenali oleh penduduk Kuching sebagai 'perauk
tambang' merupakan nostalgia sejarah lama Kuching yang menjadi
pengangkutan utama sejak sekian lama. Ketika Briged PGA PDRM yang kini
menjadi tapak kepada bangunan gah Dewan Undangan Negeri (DUN Sarawak)
yang baharu, perahu tambang merupakan nadi kepada penduduk Briged PGA.
Dahulu, dengan tambang 30 sen satu hala perjalanan, tambang perahu
tambang kini meningkat menjadi 50 sen, hanya beza 20 sen untuk dijadikan
alat pengukur kepada jasa pak tambang dan keunikan gondola versi
Sarawak yang tidak ada di mana-mana tempat di Malaysia.
Dikatakan pada tahun-tahun yang seterusnya, Kuching Waterfront dan DUN
akan dihubungkan dengan satu jambatan sebagai jalan perhubungan yang
lebih kondusif dan moden. Kini, perahu tambang bukan saja dilihat
sebagai pengangkutan awam tetapi juga menjadi kenderaan paling murah dan
bernostalgia bagi pelancong dalam dan luar negara menikmati Sungai
Sarawak dan Tebingan Kuching yang dilimpahi cahaya neon yang
mengasyikkan pada waktu malam. Bukan itu sahaja, perahu tambang sudah
lama berkhidmat sebagai agen pengiklanan menerusi gambar produk seperti
Sunsilk pada atap perahu. Sebenarnya, ia agak efektif dan menarik
perhatian. Cuma, apa yang dibimbangkan ialah keperluan dan khidmat pak
tambang, sama ada mereka diperlukan atau budaya yang berusia
beratus-ratus tahun ini terhapus begitu saja.
Bagi saya, tidak kira apapun jenis jambatan yang mahu pihak berwajib
lakukan, diharap agar khidmat perahu tambang ini kekal sebagai subjek
pelancongan di bawah tanggungjawab pihak yang berkenaan. Semoga warisan
lama perahu tambang ini terus dijaga sebagai nostalgia rakyat Sarawak.
No comments:
Post a Comment